Islam dibina di atas tiga asas yang utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Antara ketiga komponen
ini, akidah adalah asas yang paling utama dan tunjang kepada Islam.
Tanpa akidah, Islam akan terkubur dan segala amal soleh tidak akan
dinilai di akhirat nanti.
Kepentingan
menjaga akidah Islam tercerna nampak dalam ayat-ayat Quran dan hadis
Nabi s.a.w. Antaranya firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa syirik terhadap-Nya, dan Allah akan
mengampunkan dosa selain itu bagi sesiapa yang Ia kehendaki.” (Surah
al-Nisa’: 48) menumpukan kepada persoalan akidah.
Dalam
satu riwayat hadis, Nabi s.a.w. menghantar Muaz ibn Jabal ke Yaman.
Nabi s.a.w. berpesan agar Muaz mengajak ahli aman untuk mentauhidkan
Allah terlebih dahulu. Apabila akidah sudah bertapak kukuh, maka barulah
dikhabarkan dengan kewajipan solat. Itu pesan Nabi s.a.w. Ini bermakna
penumpuan kepada akidah amat ditekankan oleh Nabi s.a.w. (Rujuk Sahih Muslim, kitabIman, No. hadis 29-31).
Akidah
tauhid juga adalah hak Allah. Dalam riwayat hadis, Nabi s.a.w.
menerangkan bahawa hak Allah ke atas hamba-hamba ialah Ia disembah dan
tidak disekutukan dengan apa jua. (Rujuk Sahih Muslim, kitab Iman, No. hadis 50).
Terdapat
banyak tegahan dalam Islam yang mana ia dikira sebagai dosa, namun dosa
yang tidak akan terampun ialah dosa syirik. Syirik ini bukan bermakna
sesiapa yang kufur hari ini kemudian menganut Islam namun dosanya tidak
terampun. Kaedah asas dalam Islam ialah Islam menghapuskan apa-apa dosa
sebelumnya. Namun syirik di sini bermaksud mati dalam keadaan syirik. Ia
adalah kesudahan yang buruk atau suu al-khatimah
BERIRINGIAN PAHALA KE MASJID
|
Gambar Hiasan |
Menunggu Solat
SOALAN:
Ayah saya suka pergi awal ke masjid. Saya sangat kagum dengan sifatnya
ini. Adakah seseorang itu mendapat pahala apabila duduk di dalam masjid
sementara menunggu waktu solat?
Jawapan:
Ya, seseorang yang duduk menunggu masuknya waktu solat akan mendapat
pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Seseorang hamba itu sentiasa
dalam keadaan solat selagi dia masih berada di tempat solatnya dan
menunggu untuk solat. Para malaikat akan berdoa untuknya: ‘Ya Allah,
ampunkanlah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya’ selagi dia
masih dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas.” (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim) Ayah saudara telah menunjukkan contoh yang terpuji. Semoga
Allah sentiasa merahmatinya. Semoga anakanaknya akan mengikut jejak
langkahnya.
Terkejar-kejar
SOALAN:
Salahkah orang terkejar-kejar pergi ke masjid apabila terdengar azan
lebih-lebih lagi apabila sudah iqamat dengan niat ingin takbir bersama
imam?
Jawapan:
Tidak boleh bahkan perbuatan ini menyalahi sunnah Nabi kita yang mulia.
Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka
berjalanlah menuju solat dalam keadaan tenang dan janganlah
tergesa-gesa. Mana-mana perbuatan imam dalam solatnya yang kamu sempat,
maka ikutlah. Mana-mana yang tidak sempat, kamu sempurnakanlah.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
HURAIAN: Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyatakan
bahawa dalam hadis ini terdapat gesaan Rasulullah agar seseorang yang
mahu pergi mendirikan solat berjemaah sewajarnya mendatanginya dengan
tenang. Baginda melarang sifat tergesa-gesa dan terkejar-kejar untuk
pergi mendirikan solat berjemaah sama ada dalam solat Jumaat atau
solat-solat fardu yang lain. Begitu juga sama ada takut terlepas
takbiratulihram bersama imam atau tidak. Jika terkejar-kejar untuk ke
solat berjemaah dalam keadaan sudah iqamat pun dilarang, maka apatah
lagi jika sebelum iqamat.
Ulang Kaji Adab-adab
Solat
berjemaah di masjid adalah antara sunnah Nabi dan syiar Islam yang
paling menonjol. Sudah tentu amalan ini ada adab-adabnya. Andai dijaga
dan dilaksana, pasti lebih sempurna dan makin lebat pahala. Mari kita
ulang kaji adab-adab pergi ke masjid.
1. Berwuduk sebelum pergi ke masjid.
Sabda
Rasulullah maksudnya: “Seseorang lelaki yang bersuci dan berwuduk
dengan sempurna kemudian ke masjid, nescaya Allah akan mengurniakan
untuk setiap langkahnya itu satu kebaikan, terangkat satu darjat dan
terhapus satu kesalahannya.” (Riwayat Muslim)
2. Menjauhi daripada bau-bauan yang tidak elok dan tidak disukai oleh para jemaah.
Sabda
Rasulullah: “Sesiapa yang makan bawang merah atau bawang putih,
janganlah dia mendekati masjid kami! Sesungguhnya para malaikat juga
berasa tidak selesa dan tidak suka kepada perkara-perkara yang tidak
disukai oleh anak Adam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Memakai pakaian yang elok, bersih dan cantik.
Firman Allah mafhumnya: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali kamu memasuki masjid.” (Surah al-A‘raf: 31)
4. Masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan.
Ibn
Umar memulakan kaki kanannya ketika masuk ke dalam masjid. Apabila dia
keluar daripada masjid, dia akan memulakannya dengan kaki kirinya.
(Riwayat al-Bukhari)
5. Membaca doa masuk masjid:
6. Solat sunat Tahiyyat al-Masjid sebelum duduk.
Sabda
Rasulullah maksudnya: “Apabila salah seorang antara kamu memasuki
masjid, janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan solat sunat dua
rakaat dahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
7. Memilih tempat untuk bersolat di saf sebelah kanan imam.
Hal
ini jika dia mampu berbuat demikian dengan tanpa berebut-rebut,
bersesak-sesak dan menyakiti jemaah lain yang datang lebih awal. Sabda
Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya Allah memuji dan para malaikat
mendoakan kebaikan kepada mereka yang berada di saf sebelah kanan.”
(Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah)
8. Keluar dari masjid dengan kaki kiri.
Anas
bin Malik: “Adalah dikira daripada sunnah Rasulullah apabila kamu
melangkah masuk ke masjid dengan kaki kananmu dan melangkah keluar
dengan kaki kirimu. (Riwayat Muslim)
9. Membaca doa keluar masjid:
BUKAN HANYA SEKADAR MALU
ANTARA
KATA-KATA – ‘MALU BERTANYA SESAT JALAN’ DAN ‘JUST DO IT’ – YANG MANA
SATU PILIHAN HATI DAN YANG MANA SATU MENJADI PRINSIP KITA?
Kalau
ditanyakan kepada saya, dua-dua kena ambil kira. Pembaca pula
bagaimana? Mungkin di akhir artikel saya nanti, kita akan tahu apa nak
pilih dan macam mana nak pilih. Jom kita baca! Dua pepatah – Melayu dan
inggeris – di atas antara kata-kata popular di kalangan remaja dan
masyarakat, bukan? Walaupun ada kebaikan kepada diri dan masyarakat akan
kata-kata itu, namun ia perlu di perhalusi.
Mengupas
tentang malu, ia adalah sebahagian daripada iman. sifat malu sangat
penting untuk dimiliki oleh setiap Muslim. Malah Rasulullah s.a.w.
sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh al-Bukhari
bahawa Rasulullah s.a.w. lebih malu sifatnya daripada seorang gadis
yang di dalam pingitannya. Pentingnya ada sifat malu itu dapat mencegah
seseorang daripada membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu
melakukan perkara yang tidak senonoh. Dia akan malu memperlihatkan
perilaku buruknya. ini kerana malu itu telah menjadi perisai dirinya.
sesungguhnya malu itu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.
Zaman
ini memperlihatkan banyak kepincangan perilaku hasil daripada hilangnya
rasa malu dari dalam diri. Pelajar mula tidak hormat kepada guru. Anak
yang menengking ibu bapa. Pengguna jalan raya yang tidak beradab dan
melanggar peraturan. Pemerintah dan pemimpin yang zalim. Maksiat yang
semakin banyak. Dan pelbagai lagi perkara buruk sudah terjadi apabila
pudarnya malu.
Malu
adalah satu akhlak yang lahir sebagai manifestasi iman yang ada di
jiwa. Jangan kita terpengaruh dengan orang barat yang memegang konsep
‘just do it’ atau istilah lainnya konsep ‘jangan malu’. Habis segala
perkara di langgarnya. Kita juga jangan terlepas pandang dengan konsep
malu bertanya sesat jalan yang membawa maksud jangan kita malu bertanya.
Walaupun
umat islam dituntut memiliki sifat malu, namun dalam bab mencari ilmu,
berlumba-lumba membuat kebaikan dan menyatakan yang benar, kita
seharusnya tidak dihalangi oleh rasa malu itu. Letaklah malu itu di
tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan perkara, namun jangan
dibuang kesemuanya rasa malu itu walaupun dalam perkara kebaikan, kerana
malu itu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas.
CUKUP ALLAH MENJADI SAKSI
Daripada
Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebutkan, seorang
lelaki dari Bani Israel telah meminta bantuan kawannya agar memberinya
hutang sebanyak 1,000 Dinar. Lalu kawannya berkata, “Bawalah beberapa
orang saksi agar mereka menyaksikan hutangmu ini.” Ia menjawab,
“Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu berkata, “Datangkanlah
seseorang yang menjamin pinjamanmu.” Peminjam itu hanya menjawab:
“Memadailah Allah s.w.t. menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata,
“Engkau benar!”
Maka
wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka
waktu yang telah ditentukan. Setelah lama orang yang berhutang itupun
berlayar untuk suatu keperluannya. Lalu apabila berlalu tempoh masa yang
dijanjikan, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat
asalnya untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.
Maka
diapun kemudian mengambil sebatang kayu lantas menebuk lubang padanya,
dan dimasukkannya wang 1,000 Dinar di dalamnya berserta surat kepada
kawan yang memberi pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut
dan memperbaiki keadaannya. Selanjutnya ia pergi ke laut seraya
berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa aku
meminjam wang daripada sahabatku sebanyak 1,000 Dinar. Dia meminta
kepadaku seorang penjamin maka aku katakan waktu itu, ‘Cukuplah Allah
sebagai penjamin.’ Dan ia memintaku seorang saksi, maka aku katakan
juga, ‘Cukuplah Allah sebagai saksi.’
Kemudian
ia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha
keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku
pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal menghantarku pulang...Kerana itu
aku kirimkan wang itu kepada-Mu.”
Lalu ia melemparnya ke laut dan pulang.
Sahabat
yang memberi hutang itu keluar menunggu kedatangan kapal yang
disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk
melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut dia menemui sebatang kayu. Dia lalu mengambil kayu itu untuk keperluan isterinya. Namun ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati wang yang dipinjamkan itu berserta sepucuk surat.
Selang
beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa wang 1,000
Dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, baru hari ini aku
dapat menaiki kapal membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti
rombongan untuk kutumpangi.”
Orang
yang memberinya hutang itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan
wang itu melalui sesuatu?” Ia menjawab, “Memang aku telah memberitahu
kepadamu bahawa aku tidak dapat pulang sebelum ini.”
Orang
yang memberinya hutang itu berkata, “Sesungguhnya Allah telah
menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku melalui kayu. Bawalah wang
1,000 dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.”
PATUNG PERHIASAN DALAM RUMAH
Unsur Syirik
Apa
hukum meletakkan patung perhiasan dalam rumah? Di rumah saudara saya
terdapat banyak perhiasan dalaman berbentuk patung yang dibelinya dari
luar Negara yang dilawati sebagai kenangan.
Jawapan :
Antara
adab menghias rumah ialah tidak dibenarkan wujudnya unsur-unsur syirik
seperti patung. Bahkan Rasulullah pernah melarang hal ini dalam
pesanannya kepada Aisyah dengan maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak
akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada patung.” (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Patung Nabi Sulaiman
Namun menurut saudara saya itu, al-Quran sendiri membenarkannya sebagaimana patung-patung yang dibuat untuk Nabi Sulaiman.
Jawapan :
Berkaitan
dengan patung yang terdapat dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, ada
baiknya jika kita bincangkan ayat berkenaan supaya terhindar silap
faham.
Firman
Allah mafhumnya: “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang
ia kehendaki berupa bangunan-bangunan yang tinggi, tamathil (patung
atau gambar) dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta
periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami
perintahkan): ‘Beramallah kamu wahai keluarga Dawud untuk bersyukur!’
Dan sememangnya sedikit sekali antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah
Saba’: 13)
Tafsiran Ulama
Ada dua tafsiran berkenaan ayat ini dalam kalangan ulama:
1.Memang
benar patung ataupun gambar dibenarkan dalam syariat Nabi Sulaiman.
Namun amalan ini diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w.
2.Patung
ataupun gambar yang dimaksudkan hanya merujuk kepada sesuatu yang tidak
memiliki roh seperti pokok, laut dan pemandangan bukannya haiwan
ataupun manusia.
Tafsiran Pilihan
Dengan
pentafsiran kedua ini, maka syariat Nabi Sulaiman menyamai syariat Nabi
Muhammad. Bahkan hal ini selari dengan realiti dakwah para nabi sejak
zaman berzaman iaitu menghalang manusia daripada menyembah patung
berhala.
Perhatikan
ucapan Nabi Ibrahim yang dirakamkan dalam al-Quran: “Ketika Ibrahim
berkata kepada bapanya dan kaumnya: ‘Apakah hakikatnya patung-patung ini
yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?’”(Surah al-Anbiya’: 52)
Terdapat banyak hadis yang menekankan pengharaman gambar dan patung. Rasulullah bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya
orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang
membuat ukiran atau memahat patung ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda
Baginda lagi dalam kesempatan lain yang bermaksud: “Sesungguhnya para
pelukis ini akan dikenakan azab pada akhirat. Lalu akan dikatakan kepada
mereka: ‘Berikanlah nyawa pada apa yang kamu jadikan ini!’” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Apabila
ditanyakan kepada Ibn Abbas tentang gambar yang dilukis, beliau
mengatakan bahawa di akhirat nanti Allah akan menyuruh sesiapa yang
melukis gambar yang memiliki roh agar meniupkan nyawa kepada gambar itu,
sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya.
Lanjutan itu Ibn Abbas berkata: lukislah gambar pokok atau apa jua yang tidak mempunyai roh.”
Berpandukan
penjelasan oleh Ibn Abbas ini, harus hukumnya perhiasan berbentuk
lukisan ayat-ayat suci al-Quran, gambar pemandangan seperti laut,
perkampungan, pohon di hutan, sungai dan benda yang tidak bernyawa.
Anak Patung
Bagaimana
pula dengan hadis yang menyebut bahawa Aisyah, isteri Nabi pernah
bermain dengan anak patung di dalam rumah tetapi Nabi tidak melarangnya?
Jawapan :
Ya, hadis itu sahih riwayat Muslim.
Apabila
kita mengkaji lanjut tentang larangan membuat patung dan melukis gambar
makhluk yang mempunyai roh, jelaslah kepada kita bahawa faktor
larangannya kerana perkara ini dibimbangkan menjurus pada kesyirikan dan
pemujaan serta usaha menandingi ciptaan Allah.
Unsur
ini tidak ada dalam patung permainan kanak-kanak. Menurut Muhammad Ali
al-Sabuni dalam Rawa‘i al-Bayan, patung-patung permainan anak-anak
perempuan dibolehkan dalam Islam kerana permainan seperti ini boleh
mengajar mereka cara mendidik anak-anak mereka kelak. Bahkan dalam hadis
lain, Nabi membenarkan gambar atau lukisan pada bantal, selimut,tempat
duduk atau pada tempat-tempat yang tidak dimuliakan.
Gambar Keluarga
Bagaimana pula hukum meletakkan gambar keluarga di dinding rumah?
Jawapan :
Hukum meletakkan gambar keluarga adalah harus dengan syarat:
a.Tiada pendedahan aurat.
Gambar akan menjadi tatapan umum para tetamu yang bukan mahram.
b.Tiada
unsur syirik. Contoh: Gambar ahli keluarga yang masih kafir dengan
perhiasan salib pada mereka. Jangan salah faham, gambar mereka itu
sendiri tidak salah.
Beza Lukisan dan Gambar Foto
Kenapa boleh berbeza hukum? Lukisan manusia haram tetapi gambar foto manusia pula dibolehkan.
Jawapan :
Gambar
yang diambil secara fotografi adalah harus kerana gambar itu dihasilkan
dengan tujuan sebagai kenangan. Walhal lukisan pula bertujuan untuk
menyamai atau menandingi ciptaan Allah.
Kata Syeikh Muhammad Ali Sais dalam Tafsir Ayat al Ahkam:
“Pengharaman lukisan adalah kerana disebabkan seseorang pelukis itu
berusaha mencipta suatu gambaran yang menandingi ciptaan Allah.
“Hal
ini berbeza daripada gambar fotografi yang terhasil daripada tindak
balas cahaya yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Walhal lukisan
hanya mampu dilakukan oleh seseorang yang berkemahiran sahaja”.
Wallahu a‘lam.